Archive for the ‘Tazkirah Agama’ Category

Kenapa Aku Perlu Menangis?

Sunday, April 10th, 2011

Ini adalah soalan yang dilontarkan oleh penceramah pada kuliah subuh pagi ini iaitu “Mengapa Kita Perlu Menangis?”. Sedikit perkongsian dapat kita sama-sama kongsi hasil dari kupasan tajuk kuliah subuh tersebut.

Ada 3 perkara yang boleh menyebabkan kita menangis bagi orang yang beriman iaitu :-

  1. Nikmat Kehidupan Sempurna Yang Telah Diberikan Oleh Allah s.w.t ; Kita tentu akan merasa insaf jika kita fikirkan dengan kehidupan yang sempurna yang telah diberikan oleh Allah kepada kita jika dibandingkan dengan penderitaan yang dihadapi oleh golongan manusia yang lain di dunia ini yang berdepan dengan isu kelaparan, bencana alam dan sebagainya.
  2. Bila Memikirkan Kehidupan Di Alam Kubur. Kehidupan dan suasana di alam kubur tidaklah sehebat kehidupan kita di dunia iaitu mungkin kita mempunyai rumah yang luas dan besar serta disinari cahaya lampu yang terang benderang, mempunyai sanak saudara atau rakan-rakan yang sering menemani kita atau harta yang mengunung. Tetapi di alam kubur; tempat tinggal kita ruangnya sempit dan suasana yang gelap gelita, tiada lampu yang menerangi kita. Kita hanya ditemani oleh cacing dan mungkin binatang berbisa dan tiada harta kemewahan yang menemani kita. Dan suasana ini kekal sehingga kita dibangkit semula pada hari kiamat. Bagaimana hidup pada malam pertama di alam kubur?, Mampukah kita menjawab soalan bocor yang akan ditanyakan oleh Malaikat Munkar & Nankir ; hanya amalan kita di dunia yang akan membantu kita menjawab soalan yang telah kita ketahui di dunia lagi. Kehidupan malam pertama di alam kubur tidaklah semanis kehidupan malam pertama di dunia iaitu selepas kita bernikah.
  3. Bila Memikirkan Nasib Kita Di Padang Mashyar Nanti. Tentu kita akan menangis bila segala amalan baik kita yang telah kita buat di dunia diberi kepada orang yang kita umpat, yang kita caci dan hina. Dan dosa-dosa  yang dibuat oleh orang yang kita umpat dan caci itu diberikan kepada kita. Sia-sia sahaja amalan baik dan pahala yang telah kita perolehi jika kita suka mengumpat, memburukkan serta mencaci seseorang kerana kita akan perolehi sebaliknya.

Wallahua’lam…

 

Popularity: 12% [?]

Share

Bila Nyawa Di Kerongkong

Saturday, March 26th, 2011

Topik ini dibincangkan semasa kuliah agama pada malam Jumaat yang lepas. Saya ingin kongsikan serba sedikit tentang apa yang diterangkan pada sessi kuliah tersebut. Ini adalah sambungan tajuk utama kuliah agama iaitu Qiamat Kecil dan Qiamat Besar.

Apabila ajal datang menghampiri kita, ada 2 malaikat yang duduk disebelah kanan dan kiri kita. Malaikat maut akan mencabut nyawa kita bermula dari kaki hingga ke hujung kepala kita.  Merujuk kapada Surah Al-Waqiah : ayat 83, apabila nyawa sampai di kerongkong maka permohonan taubat tidak akan diterima oleh Allah s.w.t. Pada ketika itu simati dapat melihat malaikat yang duduk disisinya, tetapi dia(simati)  tidak dapat melihat para saudara dan rakan-rakan yang duduk disisinya.

Orang mukmin yang soleh adalah golongan yang gembira bila ajal datang menjemputnya kerana ia telah dijanjikan oleh Allah s.w.t syurga yang kekal abadi.  Segala kemewahan dan nikmat yang lebih dari duniawi akan diperolehi di syurga. Jika diberi pilih untuk dihidupkan semula, dia lebih rela untuk kekal mati kerana dia telah mendapat apa yang dikehendaki iaitu syurga. Golongan kafir merasa gentar dan takut bila ajal mendatanginya.

Kita boleh rujuk terjemahan Surah Al-Waqiah (surah ke-56) mengenai apa yang akan diperolehi oleh golongan kanan dan golongan kiri. Waallahu’alam.

Popularity: 9% [?]

Share

Azab Akibat Tinggalkan Solat

Sunday, March 20th, 2011

Semasa selesai bersembahyang di masjid, terbaca satu artikel menerangkan azab yang bakal diterima akibat lalai dan tidak menunaikan solat 5 waktu. Ketahuilah bahawa solat 5 waktu adalah wajib bagi umat Islam. Balasan akibat meninggalkan solat 5 waktu terbahagi kepada 4 keadaan iaitu :-

Semasa Di Dunia

  1. Allah SWT mencabut nur orang-orang yang soleh daripada wajahnya
  2. Dia akan dibenci oleh orang-orang yang beriman.
  3. Allah SWT menghilangkan berkat dari usaha dan rezekinya.

Semasa Sakaratul Maut

  1. Ruh dicabut ketika ia berada didalam keadaan yang sangat haus.
  2. Dia akan merasa amat azab/pedih ketika ruh dicabut keluar.
  3. (su’ul khatimah)
  4. Dia akan dirisaukan akan hilang imannya.

Semasa Di Alam Barzakh

  1. Dia akan merasa susah (untuk menjawab) terhadap pertanyaan (serta menerima hukuman)dari Malaikat Mungkar dan Nakir yang sangat menggerunkan.
  2. Kuburnya akan menjadi cukup gelap.
  3. Kuburnya akan menghimpit sehingga semua tulang-tulang rusuknya bertemu (seperti jari bertemu jari)
  4. Mendapat siksaan dari binatang-binatang bisa seperti ular, kala jengking dan lipan.

Semasa Hari Kiamat

  1. Hisab keatasnya menjadi sangat berat
  2. Allah SWT tersangat murka kepadanya.
  3. Allah SWT akan menyiksanya dengan api neraka.

Sebagai ingatan pada diri sendiri dan tuan-tuan sekelian, tunaikanlah solat 5 waktu ; seelok-eloknya tunaikanlah secara berjamaah. Luangkanlah sedikit masa untuk mengadap pencipta kita Allah SWT, semoga kita beroleh rahmatNya dan di tempatkan bersama-sama dengan orang-orang yang beriman, Amin.

Popularity: 30% [?]

Share

Rumah Abadi Kekal Di Hujung Kampung

Tuesday, March 8th, 2011

Tajuk post kali agak lain macam sikit tapi mempunyai makna yang tersirat. Rumah yang dimaksud ialah rumah yang akan kita diami di alam yang lain selepas kehidupan di dunia. Sering kali bermain di kotak fikiran kita untuk mempunyai rumah yang besar yang lebih selesa. Tetapi itu semua adalah untuk keselesaan kita di dunia sahaja, hakikatnya rumah abadi kita di alam selepas mati adalah kecil sahaja secara fizikalnya.

Walaupun begitu ada diceritakan bahawa apabila mayat  seorang mukmin dikebumikan, kubur akan berkata kepadanya “Marhaban wa ahlan”. Engkau adalah orang yang lebih disukai olehku maka kubur pun meluaskan dirinya seluas mata memandang dan dibukakan kepadanya pintu syurga.

Tetapi bila mayat seorang yang kafir dan fasiq dikebumikan, kubur akan berkata kepadanya “La Marhaban wala ahlan”. Engkau adalah orang yang paling dibenci olehku maka kubur menyempitkan dirinya sehingga tulang-tulang si mati itu bertusukan. Selain itu ada 99 ekor ular yang menemaninya yang mana jika seekor menghembuskan nafasnya di bumi, nescaya binasa dan musnah segala tumbuhan di muka bumi ini.

Hanya orang yang beramal soleh dan menurut perintah Allah akan beroleh kesejahteraan tapi ingatlah bahawa kubur itu adalah satu tempat persinggahan yang pasti.

Popularity: 6% [?]

Share

Qiamat Kecil…

Thursday, March 3rd, 2011

Sambungan dari kuliah agama minggu lepas mengenai qiamat kecil. Berlakunya kematian dan bersemadinya jasad di liang lahat maka itulah qiamat kecil. Manusia akan berada di alam barzakh. Makna “barzakh” ialah dinding pemisah diantara dunia dan akhirat. Oleh itu, apabila mati seseorang itu akan terputuslah hubungan dengan orang yang disayangi mahupun sahabat handai.

Setinggi mana cinta dan sayang seseorang itu kepada si mati, dia hendaklah redha bahawa orang yang disayangi itu akan ditempatkan di alam kubur. Hikmah jasad yang mati itu berbau busuk ialah untuk memisahkan rasa cinta dan sayang kepada si mati. Maka tempat yang sepatutnya kepada si mati adalah di dalam kubur.

Menurut pemahaman dari kuliah tersebut, ustaz menyatakan bahawa manusia yang berada di alam barzakh boleh mendengar apa yang berlaku di dunia dan dia tahu apa yang berlaku di alam akhirat. Oleh itu kita disuruh untuk menziarah kubur samada untuk memberi salam kepada si mati ataupun membaca surah suci al-quran kepada si mati.

Popularity: 2% [?]

Share