Archive for the ‘Jalan-Jalan’ Category

Lebuhraya E22 Dibuka Sepenuhnya : Senai-Desaru

Wednesday, July 6th, 2011

Lebuhraya E22 atau Senai-Desaru Expressway telah siap sepenuhnya dan dibuka untuk laluan orang ramai bermula pada 10 Jun 2011 dan tanpa bayaran tol selama sebulan sehingga 10 Julai 2011. Lebuhraya pakej ke-3 sejauh 27 km diantara Persimpangan Cahaya Baharu hingga Bandar Penawar telah siap sepenuhnya pada tarikh tersebut.

Dengan pembukaan laluan pakej ke-3 ini akan memendekkan masa perjalanan antara bandar Johor Bahru ke Bandar Penawar dan kawasan sekitarnya. Secara tidak langsung ia dapat meningkatkan industri pelancongan di sekitar Desaru, Batu Layar dan Tanjung Balau. Sebelum ini tempat perlancongan tersebut agak jauh kerana perlu melalui jalan persekutuan yang mengambil masa sehingga 2 jam untuk sampai ke sini. Tetapi dengan adanya lebuhraya baru ini, hanya mengambil masa 20 minit perjalanan dari persimpangan Cahaya Baharu ke Tol Bandar Penawar.

Selain itu ia juga memberi faedah kepada penduduk dan peneroka Felda di sekitarnya terutama Felda Air Tawar 5- Air Tawar 1, Felda Tunggal dan yang lain-lain untuk menggunakan laluan ini kerana tempoh perjalanan yang pendek.

Pada jangkaan asal saya lebuhraya pakej ke-3 ini mempunyai laluan 2 lorong bagi kedua-dua belah laluan seperti pakej 1 dan pakej 2, tetapi amat memeranjatkan pada pertama kali melaluinya kerana hanya 1 lorong bagi kedua-dua belah laluan umpama jalan perseketuan (kecuali di laluan atas jambatan yang mempunyai 4 lorong). Jadi ini akan mengundang masalah kesesakan lalu lintas terutamanya pada hujung minggu dan mungkin pada musim perayaan.

Semoga pihak pengurusan lebuhraya ini dapat meningkatkan laluan 2 lorong kepada 4 lorong agar ia dapat memberi keselesaan kepada pengguna lebuhraya ini memandangkan ia adalah lebuhraya berbayar.

 

Popularity: 16% [?]

Share/Save/Bookmark

Karnival Mahabbah IKIMfm

Tuesday, April 19th, 2011

IKIMfm adalah sebuah stesen radio yang berkonsepkan kepada pendekatan Islam yang beroperasi 24 jam sehari. Banyak program yang dikeudarakan bersifat mendidik jiwa dan program hiburan yang tidak melalaikan, selain dari menyajikan maklumat yang bermanfaat.

Sempena dengan sedekad bersiaran, stesen radio ini akan mengadakan Karnival Mahabbah IKIMfm di selatan tanah air yang bertempat di Komplek Mutiara Johor Land, Bandar Dato’ Onn Johor Bahru. Karnival ini akan berlangsung selama 3 hari iaitu bermula pada hari Jumaat sehingga Ahad bertarikh 22-24 April 2011.

Pelbagai acara menarik akan disediakan termasuklah Konsert Mahabbah IKIMfm, program remaja@ikimfm, futsal, Dari konti ke pentas, Forum Mahabbah IKIMfm, acara untuk kanak-kanak bersama Upin dan Ipin, acara memasak bersama Chef Sabri, konvoi motor berkuasa tinggi dari Kuala Lumpur Ke Johor Bahru dan banyak lagi. Di anggarkan seramai 80,000 pengunjung akan menghadiri karnival ini. Pelbagai kiosk dan gerai jualan disediakan yang menjual produk yang memberi manfaat kepada pengunjung.

 

Popularity: 11% [?]

Share/Save/Bookmark

Cari Barang Second Hand Di Rengit

Saturday, March 19th, 2011

Dua hari yang lepas sempat singgah di Rengit, Batu Pahat semasa bercuti di kampung. Lama tidak ke sini kerana tidak berkesempatan oleh kekangan masa. Pekan Rengit memang sinonim dengan barang-barang second. Barang second ini diambil dari Singapura, yang ada antaranya masih elok untuk diguna dan dipakai. Yang pentingnya kita kena pandai memilih.

Beberapa tahun yang lepas pernah beli basikal untuk anak-anak, sampai sekarang masih elok. Penjual barang second ni majoritinya adalah dari kalangan orang-orang asli dan mereka menjualnya dari rumah sahaja. Jadi suasana dan susunan barang jualan agak serabut sedikit, tetapi sekarang kebanyakkan mereka telah di tempatkan di rumah kedai yang disediakan oleh pihak kerajaan. Ia agak selesa dan lebih teratur.

Kebanyakkan barang yang dijual adalah seperti perabot terpakai, barang elektrik seperti mesin basuh, peti sejuk, radio, kipas angin ; basikal dan barang mainan. Basikal untuk anak-anak boleh dibeli semurah RM30.00 hingga RM50.00 sahaja. Selain itu pintu-pintu rumah juga ada dijual dan kualitinya masih elok. Kepada pengemar barang-barang second hand bolehlah kesana.

Popularity: 100% [?]

Share/Save/Bookmark

Jalan-Jalan & Menginap Di Homestay

Monday, February 28th, 2011

Cuti sekolah bakal hadir lebih kurang 2 minggu lagi. Elok juga luangkan masa sambil jalan-jalan dan menginap di homestay. Di Johor banyak menawarkan pakej homestay sambil bersantai dengan suasana kampung dan menyertai aktiviti yang disediakan.

Pada kali ini saya ingin beri sedikit maklumat mengenai homestay yang terdapat di Pasir Gudang. Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa di sini ada menyediakan pakej homestay. Homestay Kampung Perigi Acheh, Pasir Gudang di uruskan oleh Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Antara program atau aktiviti dan tempat menarik yang boleh dilawati ialah :-

  1. Persembahan Tarian & Muzik Melayu.
  2. Permainan Tradisional Tempatan.
  3. Tapak Perkhemahan
  4. Aktiviti Menyusuri Sg. Kopok.
  5. Cara Hidup Masyarakat Setempat Dan Rumah Tradisional Melayu.
  6. Lawatan Ke Makam Panglima Acheh.
  7. Masakan Tempatan iaitu Masakan “Seafood”, Ketupat Dan Lemang.
  8. Sarang Buaya.
  9. Kraftangan

Untuk maklumat lebih lanjut, sila hubungi Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Jabatan Kemasyarakatan, No telefon 07-2513720 & No Fax 07-2515260 atau emel ke mppg@johor.gov.my

Popularity: 14% [?]

Share/Save/Bookmark

Selamat Datang Ke Pasar Kemboja Ulu Tiram

Monday, December 20th, 2010

Pasar Kemboja Ulu Tiram ini agak popular di kalangan penduduk sekitar daerah Kota Tinggi, Johor Bahru dan Pasir Gudang. Ia ibarat syurga bagi mereka yang gemar membeli pakaian, semuanya boleh diperolehi di sini. Sebelum itu, lokasi pasar kemboja ini terletak di Batu 18.5 Kg Sg Tenang, Ulu Tiram. Lebih spesifik lagi ia berhampiran dengan Felda Sg Tiram, jika anda dari Johor Bahru bila tiba di persimpangan lampu isyarat pekan Ulu Tiram belok kanan dan jika dari Kota Tinggi belok kiri. Dari situ lebih kurang 12km jauhnya untuk sampai ke destinasi ini. Pasar Kemboja ini mula berniaga pada awal pagi pada setiap hari Khamis sahaja.

Terdapat lebih dari 100 peniaga yang datang dari Kuala Lumpur, Kota Tinggi dan warga tempatan yang berniaga di sini. Kebanyakkan peniaga adalah dari kalangan orang Kemboja yang telah bermastautin di daerah ini. Ulu Tiram adalah salah satu dari tempat yang terkenal dengan pemastautin dari Kemboja ini. Sebab itu pasar ini dikenali dengan Pasar Kemboja.

Pelbagai barangan yang diniagakan seperti kain ela, baju, seluar, tudung, tuala, cadar, sarung bantal, kemeja T, telekung dan banyak lagi. Paling popular adalah kain tudung yang dijual dengan harga RM5 hingga RM15 dan kain ela RM15 hingga RM35 lebih murah dari kedai biasa. Kualiti barang yang dijual adalah sama dengan kedai-kedai lain tetapi harganya lebih murah dan boleh dibeli secara borong. Kebanyakkan peniaga memberi barang di sini. Jangan terkejut jika anda dapati ramai para peniaga Pakistan yang membeli secara borong pakaian dan tudung untuk dijual dari rumah ke rumah di sekitar daerah ini.

Bagi yang berkeluarga dan anak ramai, pakaian basahan untuk kanak-kanak boleh dibeli di sini dengan harga yang murah. Begitu juga pakaian sekolah boleh didapati di sini dengan harga yang berpatutan. Kaum wanita terutamanya tentu rambang mata untuk memilih pakaian atau tudung untuk dibeli.

Popularity: 38% [?]

Share/Save/Bookmark