Sudah lapan hari Aidilfitri dirai, begitu pantas masa berlalu. Tapi dikalangan rakyat Malaysia, Aidilfitri disambut selama sebulan. Masih ada masa untuk kunjung-mengunjung. Kalau sebut pasal kunjung-mengunjung, subjek yang paling sinonim adalah rumah terbuka. Rumah terbuka tentunya lebih meriah kerana ramai kenalan dan sahabat handai akan datang, maklumlah Aidilfitri hanya setahun sekali dan semestinya ia dapat mengeratkan lagi silaturahim antara kita.
Tapi disini saya ingin menyenaraikan antara makanan kegemaran atau mesti ada di sesebuah rumah terbuka sepanjang Aidilfitri, antaranya adalah :-
- Ketupat & Rendang : Juadah ini memang wajib ada, kalau tidak hilang seri Aidilfitri. Ketupat secara tradisionalnya dibuat dengan menggunakan pucuk daun kelapa yang telah dianyam dan dimasukkan beras di dalamnya. Tetapi sekarang ia boleh didapati di dalam pek-pek yang yang telah siap hanya perlu direbus sahaja yang dipanggil ‘ketupat segera’. Ia selalunya dimakan bersama-sama dengan rendang ayam atau daging atau dengan serunding. Ketupat palas yang mengunakan pulut lebih popular kepada mereka yang tinggal di utara Malaysia.

- Lemang : Hidangan ini agak unik dari segi penyediaannya kerana ia dimasak di dalam buluh. Pulut dan santan kelapa akan dimasukkan bersama ke dalam buluh dan ia akan dibakar sehingga masak. Selalunya, ia dihidangkan bersama dengan rendang daging atau ayam.

- Lontong : Lontong juga adalah salah satu juadah yang biasa dihidangkan di Aidilfitri. Makanan ini memang selalu dimakan kerana ia dijadikan menu utama untuk sarapan pagi untuk rakyat Malaysia.

- Soto : Ia adalah sejenis makanan yang berkuah umpama sup yang akan dimakan bersama dengan nasi impit atau mee. Cebisan ayam, tauge, daun sup dan begedil adalah campuran utama di dalam masakan ini.

- Nasi beriani : Hidangan ini juga sering dihidangkan sempena Aidilfitri. Ia memang popular dikalangan rakyat Malaysia kerana keenakkan nasinya yang dimakan bersama kurma daging atau ayam masak merah serta acar nenas dan timun.
Ada pelbagai jenis makanan yang dihidangkan oleh kaum muslimin yang menyambut Aidilfitri. Apa yang saya sebutkan di atas adalah sebahagian dari menu utama sempena musim raya ini. Semestinya kemeriahan hari raya dapat dirasai oleh kita semua. Semoga kita dapat bertemu lagi di Aidilfitri pada tahun yang akan datang.
Popularity: 14% [?]







